Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad.
Oleh
Mohd Fadli Ghani
SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama
mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir
al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh
dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad atau lebih
masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26.
Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah
meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini
menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an.
Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana
institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau
sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk
PAS dalam soal hukum agama.
Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin
Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13
Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901).
Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya,
Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang
terkenal itu.
Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai
kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat
beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas
Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid
(ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS).
Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah
Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada 1912, beliau dimasukkan ke
Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan
Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai
Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami
ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah
bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919.
Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji
Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah
beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil
Haram.
Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah
Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah
ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India.
Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada
1926. Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam
halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930.
Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani,
Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul
Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh
Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid.
Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah
beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik,
falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji
Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena,
Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas
Bendahari Agung PAS.
Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah
melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga,
beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan
bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang
Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya.
Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji
Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah
Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas
Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab.
Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke
Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh.
Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan
generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya.
sembah derhaka
Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas
pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah.
Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak.
Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan
itu.
Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai
Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau
terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan
keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik.
Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar
dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang
dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru.
Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah
Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh
Kementerian Pelajaran.
Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem
pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah
petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat
pengiktirafan Universiti al-Azhar.
Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat
kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi.
Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di
madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di
masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.
Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah
menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah
derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya.
Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih
bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan
Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977.
Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam
kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan
Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu,
beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif
dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada
Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950.
Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos
1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut
menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November
1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam
Se-Malaya (PAS).
Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS
kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah
menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau
dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah
jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa
PAS.
Penlibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga
akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas
bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah
kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah.
Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan
pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak
Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989),
Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato� Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh
Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato�.
Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato� Haji Ghazali Arshad telah meninggal
dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji
Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir
Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato� Salleh Haji Ahmad, bekas Yang
Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama
PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan