Sheikh Zubir al-Filfulani: Ulama Madrasah Shaulatiyah.
Oleh:
Mohd Fadli Ghani
TOKOH pendidikan Islam yang terkenal di negara ini, Sheikh
Zubir Ahmad al-Filfulani, masyhur kerana pernah menjadi Mudir Madrasah Darul
Ulum, Makkah dan kemudian memimpin Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan.
Beliau ialah salah seorang ulama yang menjadi pengasas PAS
ketika majlis penubuhan PAS di Butterworth pada 24 November 1951 dan pernah
bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS pada 1959 di Perak.
Namun begitu, di kalangan pengkaji, nama Sheikh Zubir lebih
dikenali sebagai tokoh pendidikan berbanding sebagai seorang ulama PAS. Gelaran
al-Filfulani yang dilaqabkan pada namanya itu bermaksud beliau berasal dari
Pulau Pinang.
Sheikh Zubir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nor
telah dilahirkan di Pulau Pinang pada 1905. Ketika berusia tujuh tahun, beliau
mula mendapat pendidikan agama secara formal di Madrasah Islamiah, Pulau Pinang
dan akhirnya menjadi pelajar di Madrasah al-Mashoor al-Islamiah, Pulau Pinang
pada 1920.
Di madrasah ini, beliau menerima sentuhan ilmu daripada
ulama-ulama terkenal seperti Sheikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Sheikh
Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Sheikh Abdullah
al-Ghadamsi al-Maghribi, Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan
Sheikh Husein Rafi'. Selepas empat tahun di madrasah ini, beliau berhijrah ke
Makkah pada 1924 kerana menyambung pengajian di sana dan tinggal bersama Sheikh Qadhi Ahmad
al-Qari.
Di Makkah, Sheikh Zubir belajar di Madrasah Hashimiah Syarif
Hussin bin Ali selama setahun di bawah bimbingan Sheikh Umar Ba Juneid, Sheikh
Jamal al-Maliki, Sheikh Habibullah asy-Syanqithi, Sheikh Muhammad Zaidan
asy-Syanqithi dan Sheikh Umar Hamdan al-Mahrasi. Setahun kemudian, beliau
memasuki pula Madrasah Shaulatiah al-Hindiah yang terkenal itu sehingga 1930
dan mendapat Syahadah Nihayah.
Antara guru-guru beliau di madrasah ini ialah Sheikh Salim
Rahmatullah, Sheikh Mahmud Arif al-Bukhari, Sheikh Abdul Latif al-Qari, Sheikh
Hasan bin Muhammad al-Masyath, Sheikh Mukhtar Makhdum dan Sheikh Abdullah
al-Bukhari. Dalam masa yang sama, beliau turut menadah kitab di Masjidil Haram
di bawah tunjuk ajar Sheikh Sa'id bin Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih
az-Zawawi, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Sheikh Muhammad
al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.
Selepas tamat belajar di Madrasah Shaulatiah, Sheikh Zubir
mula mengajar di rumahnya dan juga di Masjidil Haram sehingga 1933. Ketika itu,
seorang agen perisik British yang menjadi Pegawai Haji, Abdul Majid Zainuddin
telah melancarkan propaganda perkauman kepada pelajar Melayu, khususnya di
Madrasah Shaulatiyah. Madrasah Shaulatiyah adalah pusat pengajian ulamak-ulamak
India
yang kebanyakannya anti-British dan Abdul Majid Zainuddin bertugas memantau
perkembangan nasionalisme orang Melayu di madrasah ini. Akhirnya, dengan
propaganda Abdul Majid Zainuddin, beratus pelajar Melayu meninggalkan madrasah
ini kerana tidak mahu belajar dengan guru India. Atas dorongan Abdul Majid
Zainuddin, Sheikh Zubir bersama Sayyid Muhsin Ali al-Masawi, seorang ulamak
berasal dari Indonesia telah mengasaskan Madrasah Darul Ulum di Syuib Ali,
Makkah pada 1933.
Pada mulanya Sheikh Zubir menjadi Naib Mudir madrasah ini,
tetapi ekoran kematian Sayyid Muhsin pada 1935, Sheikh Zubir menjadi mudir
selama lima tahun. Selain menjadi mudir di sini, beliau turut menaburkan ilmu
di Masjidil Haram dan mempunyai murid yang ramai. Pada 1937, Sheikh Zubir turun
ke Tanah Melayu bersama Kiyai Abdul Rashid Sidek dari Palembang untuk mengutip derma bagi
membangunkan Madrasah Darul Ulum dan juga Madrasah Zarbayah Ain, Masjid Tinggi,
Bagan Serai. Sheikh Zubir juga terlibat secara langsung dalam majlis penubuhan
Madrasah al-Ulum asy-Syar’iyah, Batu 20, Bagan Datoh pada 1937 iaitu institusi
pendidikan yang ditubuhkan oleh bapa bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS,
Datuk Hassan Adli. Pada 1940, Sheikh Zubir telah kembali ke Tanah Melayu dan
mengajar sementara di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang, kemudian berhijrah ke
Perak.
Madrasah pertama yang beliau mengajar di Perak ialah
Madrasah al-Ulum asy-Syar’iyah, Batu 20, iaitu madrasah yang beliau sendiri
asaskan bersama Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh. Sepanjang zaman Jepun,
Sheikh Zubir menjadi Wakil Mudir madrasah ini dan mula berpindah ke Masjid
Tinggi pada 1946 iaitu mengajar di Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah yang ketika
itu dikendalikan oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd Arshad (abang Ustaz Hassan Adli).
Shiekh Zubir dikatakan pernah menjadi mudir di madrasah ini selepas Perang
Dunia Kedua. Antara murid beliau yang terkenal di madrasah ini ialah Ustaz
Datuk Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.
Pada 1948, Sheikh Zubir telah diminta oleh Sultan Perak
untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisah setelah Sheikh Abdullah Fahim
meletakkan jawatan. Sheikh Zubir merupakan antara mudir madrasah ini yang
paling lama dan paling terkenal kerana beliau memimpin madrasah ini sehingga
1975 iaitu selama hampir 28 tahun. Ketika zaman beliaulah, Madrasah Idrisiah
memprkenalkan Kelas Tujuh, Kelas Lapan dan akhirnya Kelas Thanawi Rabiie.
Di samping aktif dalam dunia pendidikan, Sheikh Zubir adalah
ulamak progresif yang sentiasa mahukan kerajaan Islam ditegakkan. Ini tergambar
dalam kata-kata aluan buku �Suluh Kemajuan
(1952)� tulisan Sheikh Abdul Karim Othman
as-Sarawaki. Beliau menyebutkan, �Maka orang-orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada
ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang
dihormati.
Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah
kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia.
Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam seluruh
alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kala.� Itulah harapan dan kesedaran beliau
terhadap kepentingan menubuhkan negara Islam.
Kerana kesedaran ini, Sheikh Zubir ketika berada di Masjid
Tinggi telah menjadi tenaga penting dalam gerakan Hizbul Muslimin semenjak 1947
sehingga parti itu dilumpuhkan oleh British pada Ogos 1948. Sebagai Mudir
Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Sheikh Zubir bergiat cergas dalam LEPIR iaitu
badan pendidikan Hizbul Muslimin.
Pada akhir 1947, LEPIR telah menubuhkan Pusat Pentadbiran
Sekolah-sekolah Rakyat dan Sheikh Zubir diberikan kepercayaan sebagai pengelola
pusat ini. Walau bagaimanapun, kerana keuzuran, pada awal 1948 beliau
melepaskan jawatan ini, tetapi guru-guru dan pelajar di Masjid Tinggi dan
Selinsing seperti Ustaz Abdul Wahab Nor (bekas Pesuruhjaya PAS Perak), Abdul
Raof Nor, Mohamad Abbas, Mohd Nor Mokhtar, Abdullah Hakim dan lain-lain terus
digalakkan bergiat cergas dalam Hizbul Muslimin sehingga beberapa di kalangan
mereka ditahan oleh British pada 1948.
Setelah Hizbul Muslimin terkubur, Sheikh Zubir menumpukan
perhatian kepada tugas barunya di Madrasah Idrisiah, tetapi tetap berjuang
untuk menegakkan negara Islam. Sebagai bukti komitmen beliau, pada 24 November
1951, Sheikh Zubir telah menghadiri Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang
akhirnya berjaya menubuhkan PAS.
Ketika ini, Raja-raja Melayu mempunyai hubungan yang agak
tegang dengan para ulama kerana desakan untuk menyatukan pentadbiran agama.
Sheikh Zubir selaku mudir sebuah madrasah yang dikawal oleh Sultan Perak
menghadiri persidangan ini sebagai wakil bebas. Dalam pilihan raya umum pertama
pada 1959, Sheikh Zubir telah dicalonkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen
Bagan Datoh tetapi beliau tewas. Selepas pilihan raya ini, beliau tidak lagi
menjadi calon kerana kedudukannya sebagai mudir di madrasah tersebut.
Walau tidak menjadi calon, Sheikh Zubir terus memberikan
komitmen kepada PAS dengan menjadi penasihat dan tempat rujukan dalam pelbagai
isu agama. Setelah bersara sebagai mudir Madrasah Idrisiah pada 1975 dalam usia
70 tahun, Sheikh Zubir hanya memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah di
masjid dan tidak lagi cergas dalam politik.
Pada 1984, dalam usia 79 tahun, Sheikh Zubir bin Ahmad
al-Filfulani, seorang ulama yang banyak berjasa kepada tanah air telah kembali
ke rahmatullah.- tajdid _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan