Syeikh Yusuf Saigon al-Banjari: Ulama Hartawan.
Oleh
Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah
SALAH seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad
al-Banjari, ialah Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa
buah negeri kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu
tajwid. Sewaktu beliau merantau ke Brunei,
berkahwin di sana,
memperoleh anak bernama Ramli. Diriwayatkan ramai keturunannya di Brunei dan Sabah.
Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak, Kalimantan
Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Yusuf, Muhammad Arsyad
dan Abdur Rahman.
Diriwayatkan, bahawa Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah
belajar ilmu-ilmu keislaman secara mendalam, beliau meneruskan usaha akhirnya
menjadi saudagar intan. Muhammad Yusuf juga merantau ke seluruh tanah Kalimantan. Selanjutnya Muhammad Yusuf merantau ke
Sumatera, hingga beliau meneruskan perantauannya ke luar negeri, iaitu ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu, Kemboja, Muhammad
Yusuf berkahwin lagi. Beliau seorang yang berpengalaman dalam perkahwinan.
Diriwayatkan, sepanjang hidupnya Muhammad Yusuf pernah berkahwin sebanyak empat
puluh kali. Isterinya ke empat puluh yang berasal dari Kemboja itulah yang
dibawanya pulang ke Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka
tanah perkebunan getah yang sangat luas. Setelah usahanya menjadi, diberinya
nama kampung itu sebagai ``Kampung Saigon''. Akhirnya beliau sendiri terkenal
dengan panggilan Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya. Oleh itu ramai
orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon
bukan orang Banjar.
INSTITUSI PENDIDIKAN
Kedua-dua anak Muhammad Thasin al-Banjari yang tersebut di
atas, iaitu Muhammad Yusuf dan Muhammad Arsyad Pontianak, setelah mereka
melihat kesuburan pohon-pohon getah hasil usaha gigih dan susah payah mereka
sendiri, bangkitlah kembali cita-cita untuk meneruskan perjuangan moyang
mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang sangat
masyhur itu. Mereka berdua beriktikad, bahawa tiada satu perjuangan pun yang
lebih mulia, dapat menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat,
melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan
rasul Allah. Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., nabi dan rasul
akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu-satunya agama yang wajib diperjuangkan
oleh setiap insan Muslim. Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam
ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan untuk propaganda dan dakwah dilakukan
oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.
Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah,
kerana dalam tahun 1925 M. datanglah seorang pemuda yang alim dari Ketapang
bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.
Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku Mahmud
Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul Islam di
Kerajaan Selangor. Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu
didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal para pelajar, ketika itu berdirilah
Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap sebagai pondok pesantren yang pertama
di Kalimantan Barat. Sungguhpun demikian, sebenarnya sistem pendidikannya bukan
sistem pondok, kerana ia juga mempunyai bangku-bangku tempat duduk para pelajar.
Dikatakan sebagai pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat hanyalah
kerana di Pondok Pesantren Saigoniyah yang pertama sekali terdapat
pondok-pondok tempat tinggal para pelajar yang dimodali oleh Muhammad Yusuf
Saigon. Ada pun
pengajian pondok selain itu ialah Dar al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman
bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian pondok beliau terletak di
Kampung Terusan, Mempawah. Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya pondok
pengajian tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya sama dengan di
Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa. Dalam tahun 1975, beberapa orang kader
Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum bergabung, sama-sama mengajar di
Pondok Pesantren Al-Fathaanah di Kuala Mempawah. Oleh itu bererti kelanjutan
daripada kedua-dua institusi yang tersebut, masih berjalan terus sampai
sekarang.
KADER-KADER
Pondok Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader
yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat tetapi sekarang hampir
semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau
tenggelam namanya akibat perang dunia yang kedua, tentera Jepun sangat ganas di
Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi, nama baru
yang muncul dalam tahun 1977 ialah Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan
bertujuan mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan nama
keturunan beliau, iaitu Muhammad Arsyad. Beliau adalah satu-satunya ulama yang
dihormati di Kampung Saigon ketika itu.
Memandangkan institusi-institusi pendidikan pondok di
beberapa tempat di Pulau Jawa mencapai kemajuan, sebaliknya di tempat-tempat
yang lain termasuk di Malaysia
mengalami kemerosotan, bahkan ada yang hanya dikenang namanya saja, rasanya
perlulah insan-insan yang sedar dan insaf berjuang menghidupkannya kembali. Ini
kerana sistem pengajian pondok satu ketika dulu diakui oleh ramai pihak sebagai
institusi yang mencerdaskan umat Melayu sejagat. Dengan perkembangan dunia yang
serba canggih dan moden, institusi pondok perlu canggih dan moden juga. Pondok
Pesantren Saigoniyah yang satu ketika dulu pernah terkenal di Kalimantan Barat,
bahkan menjadi dipuji oleh masyarakat Banjar di mana saja mereka berada,
sekarang telah tiada. Kita mengharapkan pejuang-pejuang pendidikan sistem pondok
dunia Melayu tetap berfikir dan berusaha ke arah sesuatu yang hilang akan ada
gantinya.
Sebagaimana kita ketahui, Muhammad Yusuf Saigon, yang
berperanan dalam pembinaan Pondok Pesantren Saigoniyah, adalah salah seorang
keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Perlu juga kita
ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan aktiviti serupa di
tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan termasuk juga Mekah. Sebagai
contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di
Parit Hidayat, Sapat, Inderagiri Hilir, Sumatera. Tuan Husein Kedah al-Banjari
mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan
aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau
Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al-Khairiah.
Selain institusi pendidikan di Pontianak, Kalimantan Barat,
Sapat, Inderagiri dan Malaysia sebagaimana yang disebutkan di atas, masih
banyak lagi institusi pendidikan keluarga ulama Banjar tersebut di
tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa
Timur ada pondok pesantren yang diasaskan keluarga ini, seperti Pesantren Datuk
Kelampayan. Pondok tersebut diasaskan oleh al-`Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad
Syarwani Abdan al-Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan.
Di Dalampagar (Banjar) sekurang-kurangnya terdapat dua buah institusi
pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk Selong,
Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar diberi nama
Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah ash-Shibyan. Yang di Teluk Selong
diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di Sungai Tuan diberi nama Madrasah
Al-Irsyad.
Yayasan yang diasaskan oleh keluarga ulama Banjar tersebut
juga terdapat di beberapa tempat, seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad
Al-Banjari. Yayasan terbentuk dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali
oleh panitia (jawatan kuasa) pada 30 November 1967, hari kewafatan beliau yang
jatuh pada 7 Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah
Kelampayan, Kalimantan Selatan. Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini
bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919)
yang telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu
Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar dan sejak tahun 1972
telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah. Ada beberapa orang besar
dan tokoh terkemuka di Sabah yang merupakan murid beliau, di antaranya ialah
Datuk Mohd Ainal bin Haji Abdul Fattah, PGDK, LLB, MBA (UMS), penyusun buku
Dokumentasi Pilihan Raya Ke-11, cetakan pertama tahun 2005 yang lengkap dengan
pelbagai gambar. Buku tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah
Badawi, Perdana Menteri Malaysia
pada hari Jumaat 22 Julai 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).
PENULISAN
Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin al-Banjari adalah
seorang ulama. Beliau juga menyebarkan Islam dengan cara berpindah dari satu
tempat ke tempat yang lain. Sungguh pun beliau merantau namun sempat juga
menghasilkan beberapa buah karangan. Di antaranya yang diberi judul Tajwid
Fatihah. Karya beliau pula ialah Tajwid al-Quran, diselesaikan di Pontianak,
hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H. Cetakan pertama kedua-dua karya tersebut dicetak
oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 29 Jamadilawal 1348 H.
Menurut keterangan anak beliau, Fauzi Arsyad masih ada beberapa buah karangan
Muhammad Arsyad, ayahnya itu, di antaranya ialah Ilmu Ushul Fiqh. Dengan sangat
disesali saya hanya memperoleh dua judul yang tersebut di atas saja, ketika
saya menyusun buku Syeikh Muhd. Arsyad Al-Banjari Matahari Islam (1402 H/1982
M) beliau berjanji akan membongkar kitab-kitab yang ada dalam simpanan untuk
mendapatkan semua karangan ayahnya, namun hingga beliau meninggal dunia
karangan-karangan yang dimaksudkan gagal diperoleh.
Ilmu Ushul Fiqh termasuk salah satu ilmu yang tidak banyak
ditulis dalam bahasa Melayu, Prof. Dr. Hamka menulis, ``Orang pertama menulis
Ilmu Ushul Fiqh dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang
diberinya judul Sullamul Ushul Yurqabihi Samma'u Ilmul Ushul, selesai ditulis
pukul 6.30 pagi, hari Sabtu, 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di
Jambatan Besi, Padang Panjang.'' Jika ushul fiqh karya Muhammad Arsyad bin Haji
Muhammad Thasin dapat ditemui tentu kita dapat membandingkannya dengan karya
ayah atau orang tua Buya Hamka itu. Kemungkinan karya ulama keturunan Banjar
itu lebih dulu atau pun jika terkemudian rasanya dalam jarak tahun yang tidak
begitu jauh. Kerana kedua-dua ulama yang berasal dari Banjar dan Minangkabau
itu menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan penulisan adalah dalam tahun-tahun
yang bersamaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan