Saiyid Muhsin al-Masawi Pengasas Dar al-Ulum Di Mekah.
Oleh:
Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah
SALAH satu institusi pendidikan Islam yang cukup terkenal di
Mekah lebih 100 tahun lalu di kalangan masyarakat India, Pakistan dan lain-lain
termasuk juga komuniti Islam dari dunia Melayu ialah Madrasah ash-Shaulatiyah
yang diasaskan oleh salah seorang keturunan Saiyidina Utsman bin Affan yang
dilahirkan di India.
Bagi masyarakat Melayu, selain mendapat pendidikan di Masjid
al-Haram ramai juga yang memasuki Madrasah ash-Shaulatiyah.
Para pemuda Melayu yang sedar
kepentingan pendidikan Islam, dakwah dan kemajuan bangsa serumpun Melayu
akhirnya mencetuskan idea untuk mendirikan sebuah pusat pendidikan di Mekah.
Tujuan pendidikan yang paling diutamakan adalah memperkukuh dan mempertahankan
akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.
Idea itu dicetuskan oleh seorang pemuda yang mempunyai
banyak kelebihan ilmu kelahiran Palembang,
Sumatera Selatan iaitu Saiyid Muhsin bin Ali bin Abdur Rahman al-Masawi. Beliau
lahir pada tahun 1323 H/1905 M dan wafat di Mekah pada bulan Jamadilakhir 1354
H/September 1935 M.
Saiyid Muhsin al-Masawi mendapat pendidikan awal daripada
orang tuanya. Untuk pendidikan awal yang formal, ayahnya memasukkannya di
Madrasah Nur al-Islam dan beliau kemudian melanjutkan pendidikan di Madrasah
Sa’adah ad-Daraini. Kedua-dua madrasah itu terletak di Jambi.
Disebabkan ayahnya meninggal dunia pada tahun 1919 M, Saiyid
Muhsin al-Masawi terpaksa pulang ke Palembang.
Di Palembang, beliau sempat belajar di Madrasah Hukumiyah
dan mendapat pendidikan daripada Haji Aidrus. Pada tahun 1340 H/1921 M Saiyid
Muhsin al-Masawi berangkat ke Mekah. Beliau melanjutkan pendidikan di Madrasah
ash-Shaulatiyah mulai tahun 1341 H/1923 M. Antara guru beliau ialah Syeikh Hasan
bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Daud Dihan, Syeikh Abdullah bin al-Hasan
al-Kuhaji, Syeikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin
Abdur Rahman al-Fathani.
Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sentiasa
bersungguh-sungguh, sangat rajin dan beliau pula adalah seorang yang kuat
beribadat. Selain menguasai banyak bidang ilmu, Saiyid Muhsin al-Masawi ialah
seorang yang sangat pandai dalam ilmu tafsir, usul fiqh, falak dan faraid.
Pada tahun 1348 H/1929 M, Saiyid Muhsin al-Masawi pergi ke
Hadhramaut untuk memperluaskan pengalaman dan menambah ilmu terutama menziarahi
golongan Alawiyin (keturunan Rasulullah s.a.w.). Sewaktu di Tarim, Saiyid
Muhsin al-Masawi mengikuti beberapa halaqah pengajian dan sekali gus memperoleh
ilmu-ilmu tradisional yang lazim diajarkan di sana.
Tradisi ulama dunia Melayu yang seboleh-bolehnya mesti
menerima ilmu di Hadhramaut, Yaman, nampaknya berjalan sejak dulu. Ia dimulakan
oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi, Syeikh
Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Hanya sekitar tiga bulan Saiyid Muhsin
al-Masawi tinggal di Hadhramaut sebelum beliau kembali ke Mekah.
Aktiviti
Ketika Saiyid Muhsin al-Masawi berada di Mekah beliau giat
mengajar di rumahnya. Yang hadir dalam halaqah pengajiannya bukan sahaja
kalangan yang berasal dari dunia Melayu tetapi juga bangsa-bangsa Islam lain.
Pelajarannya pula berbagai-bagai disiplin ilmu. Sungguhpun sibuk mengajar namun
ia tidak menghalang beliau mendalami ilmu di Masjid al-Haram, Mekah.
Antara ulama-ulama besar guru Saiyid Muhsin al-Masawi di
Masjid al-Haram ialah Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Sa’id bin Muhammad
al-Yamani al-Khalidi, Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, Syeikh Umar
Hamdan, Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi.
Para guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Madinah pula ialah
Syeikh Abdul Qadir bin Taufiq asy-Syibli, Syeikh Muhammad al-Baqi al-Laknawi,
Saiyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji, Syarif Abdul Hayy bin Abdul Kabir al-Kinani
al-Fasi dan Syeikh Muhammad Ali Awadal-Maghribi as-Salwi.
Pada tahun 1352 H/1933 M, Saiyid Muhsin al-Masawi al-Huseini
mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu’ib Ali, Mekah. Pengasasan
madrasah itu pada tahun 1352 H disebut dalam Tasynif al-Asma’ oleh Abi Sulaiman
Mahmud Sa’id bin Muhammad Mamduh. Tetapi Syeikh Umar Abdul Jabbar dalam
at-Tarajim wa as-Siyar menyebut tahun 1353 H. Dalam sumber Arab, yang berkongsi
mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah hanya terdapat dua nama iaitu
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini dan Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad
al-Filfulani. Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi ialah Mudir Madrasah Dar al-Ulum
ad-Diniyah yang pertama, tetapi tidak lama kerana beliau meninggal dunia pada
Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.
Secara langsung wakil Mudir ialah Syeikh Haji Zubeir bin
Ahmad al-Filfulani yang dilantik menjadi mudir yang kedua. Prof. Dr. Mohammad
Redzuan Othman dalam kertas kerjanya berjudul Memerantauan Orang Melayu
Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan
Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu menyebut, yang
berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin yang
dikatakan meletakkan batu asas.
Menurutnya, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian
diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta
(kertas kerja hlm. 7). Maklumat yang dikemukakan oleh Mohammad Redzuan itu
adalah perkara baru bagi saya. Saya belum menemui tulisan lain ataupun cerita
lisan sebelum ini. Saya tidak perlu menyanggah kenyataan itu kerana ada
kemungkinan ia benar.
Penulisan
Sungguhpun umur Saiyid Muhsin al-Masawi sangat pendek namun
beliau sempat menghasilkan beberapa karangan. Semua karangannya yang ditemui
adalah dalam bahasa Arab. Hampir semua kitab yang disusunnya diajar di Madrasah
Dar al-Ulum ad-Diniyah, Mekah. Selanjutnya murid-murid beliau yang berhasil
mendirikan sekolah di Indonesia
dan Malaysia
mengajar pula kitab-kitab yang beliau karang itu. Senarai karangannya adalah
sebagai berikut:
1. An-Nafhah al-Hasaniyah Syarh an-Nafhah as-Saniyah fi
al-Faraidh
2. Madkhal al-Wushul ila 'Ilm al-Ushul
3. Nahj at-Taisir Syarh Manzhumah az-Zamzami fi Ushul
at-Tafsir
4. Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar
5. Al-Judad Syarh Manzhumah az-Zubad
6. An-Nushush al-Jauhariyah fi Ta'rif al-Manthiqiyah
7. Adillah Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah fi Daf'i asy-Syubuhat
al- Firaq adh-Dhallah al-Mutabaddi'ah
8. Ar-Rihlah al-'Aliyah ila ad-Diyar al-Hadhramiyah
Semua kitab di atas disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul
Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar tanpa memberi keterangan yang panjang
mengenainya. Kemungkinan banyak karangan beliau yang masih belum kita ketahui.
Sebagai contoh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang) ialah murid Saiyid Muhsin al-Masawi.
Pada bulan 27 Ramadan 1354 H Syeikh Muhammad Yasin bin 'Isa
al-Fadani menyelesaikan kitab berjudul Janiy ats-Tsamar Syarh Manzhumah Manazil
al-Qamar yang merupakan syarahan karya al-Allamah Khalifah bin Ahmad an-Nabhani
al-Falaki. Sebenarnya sebelum kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Muhammad
Yasin bin Isa al-Fadani, ia terlebih dulu pernah diberi taqrirat (memberi
pujian dan keterangan untuk memperkukuhkan sesuatu perkara) pada bahagian
bawahnya oleh Saiyid Muhsin al-Masawi.
Kandungan kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu falak.
Karya yang dibicarakan ini pernah dicetak oleh Mathba'ah As-Saiyid Muhammad
Abdul Lathif Hijazi, Mesir pada akhir Rabiulakhir 1369 H. Saya belum dapat
memastikan karya yang ditaqrirat oleh Saiyid Muhsin al-Masawi yang disebut ini
adakah sama dengan kitab yang disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar yang
berjudul Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar (nombor 4
dalam senarai). Ini kerana sewaktu saya menyusun artikel ini kitab yang
tersebut tidak sempat saya rujuk.
Murid-murid
Murid Saiyid Muhsin al-Masawi sangat ramai, yang paling
terkenal ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Isa bin Udiq al-Fadani al-Indunisiyi
asy-Syafi'ie (lahir 1335 H/1916 M, meninggal dunia di Mekah, 1410 H/1989 M).
Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah pemegang amanah sebagai
Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang keempat dari tahun 1946 - 1990 M,
sesudah Syeikh Ahmad al-Manshuri (Mudir ketiga tahun 1940 - 1946 M). Syeikh
Ahmad al-Manshuri ini ialah sahabat Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani
(Mudir kedua tahun 1935 -1940 M).
Kedua-dua ulama ini sama-sama mendapat pendidikan Madrasah
al-Masyhur Pulau Pinang, sama-sama berangkat
dan belajar di Mekah. Masih belum jelas kemungkinan Syeikh Ahmad al-Manshuri
juga pengasas Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah bersama-sama Saiyid Muhsin
al-Masawi.
Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah murid ketiga-tiga ulama
tersebut, termasuk ulama Mekah yang sangat terkenal pada penghujung alaf yang
lalu. Syeikh Muhammad Yasin Padang termasuk ulama yang dirujuk oleh ulama
seluruh dunia terutama mengenai sanad-sanad pelbagai ilmu. Hasil penulisan
beliau sangat banyak. Semuanya dalam bahasa Arab.
Murid Saiyid Muhsin al-Masawi yang sempat saya bergaul hanya
seorang iaitu al-Hafiz Ustaz Haji Ali Usman al-Katafani (Ketapang) yang
merupakan sahabat Syeikh Muhammad Yasin Padang. Saya mengenali ulama ini
melalui karya beliau tentang lughah Arab. Pada mulanya saya memperoleh cerita
tentang beliau daripada guru saya, Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, salah seorang
murid beliau.
Pada tahun 1971 saya sempat bertemu Ustaz Haji Ali Usman di
Singapura. Beliau menyerahkan sebuah karangannya yang masih dalam bentuk
tulisan tangannya sendiri. Khatnya cukup indah, ditulis dalam bahasa Arab.
Kandungan tentang sanad-sanad.
Pada penghujung tahun 1971 dan memasuki awal tahun 1972,
sekitar seminggu saya tinggal di rumahnya di Bandung. Ketika itu beliau bertugas sebagai
Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Selain mengikuti halaqah ketika
beliau mengajar di surau, saya menyaksikan beliau sangat rajin membaca kitab,
semua yang dibacanya ialah kitab bahasa Arab. Banyak maklumat tentang guru
beliau, iaitu Saiyid Muhsin al-Masawi, ulama-ulama Mekah sezaman dengannya dan
bahasan ilmu-ilmu Islam saya dengar dan saya peroleh daripada Ustaz Haji Ali
Usman.
Ustaz Haji Ali Usman termasuk ulama besar Indonesia,
tetapi ramai orang tidak mengetahui peranan yang dimainkannya. Beliau ialah
salah seorang anggota Badan Konstituante Indonesia
(sebuah badan sah untuk menentukan corak pemerintahan Indonesia sama
ada Negara Islam ataupun Negara Nasional) tahun 1955 - 1959. Ustaz Haji Ali
Usman ialah wakil badan itu dari Kalimantan Barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan