Haji Hussin Rahimi.
Oleh:
Mohd Fadli Ghani
SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah
Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung,
Kelantan. Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik
sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini
bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika
itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu
pada 1959 dan 1964.
Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul
Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama
yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia
Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab
Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan
dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).
Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh
dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas
atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang
ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah
Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah
Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang
itu.
Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim
ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji
Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919
turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya
di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan
Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.
Berguru dengan anak Tok Kenali
Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke
Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru
Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi
Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.
Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke
Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok
ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk
menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya
PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan
Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.
Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan
untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu
antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji
Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz
sendiri.
Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke
Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh
Yassin al-Fadani yang terkenal itu.
Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum,
Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah
selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di
Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji
Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang
lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf
Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir
hayatnya pada 1971.
Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin
turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan
Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok
Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh
menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.
Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba
menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh
adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad
pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat
Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu
perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.
PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti
Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau
berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang
membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.
Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS
pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung
PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan
Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru
Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959,
beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi
wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.
Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama
Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan,
kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di
samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli
Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi
wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri
Kelantan (1969-1971).
Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan,
politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru
Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun
iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.
Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab
Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian
Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang
pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS
adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan
daulah Islam.