Syeikh Zubeir Al-Filfulani: Tokoh Pendidikan Islam.
Oleh
HJ Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM lima
keluaran terakhir kolum Ulama Nusantara yang lepas, pada bahagian bawahnya
dinyatakan alamat e-mel dan nombor telefon saya. Terlalu ramai yang menghubungi
saya dengan pelbagai pertanyaan.
Saya ucapkan terima kasih terutama kepada halaman agama
Utusan Malaysia
yang menyiarkan alamat tersebut. Ia membuka ruang bersilaturahim antara pembaca
dengan penulis. Bagi pihak yang mengirim e-mel dan menelefon, saya ucapkan
terima kasih.
Disebabkan pertanyaan terlalu banyak, ada yang pendek dan
ada yang panjang, saya mohon maaf kerana tidak mungkin ia dapat dijawab dalam
kadar yang segera. Saya anjurkan supaya anda mengikuti rencana ini secara
berterusan kerana ada beberapa pertanyaan yang terjawab dengan sendirinya dalam
artikel-artikel yang diterbitkan.
Daripada sekian banyak pertanyaan ada yang meminta saya
menulis tentang seorang ulama yang berasal dari Pulau Pinang. Ulama yang
dimaksudkan ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad
Nur al-Fardhi al-Faqih asy-Syafi'ie al-Filfulani (Pulau Pinang).
Rujukan utama untuk menyusun riwayat ulama yang berasal dari
Pulau Pinang ini ialah sebuah kitab bahasa Arab berjudul Tasynif al-Asma' bi
Syuyukh al-Ijazah wa as-Sama' au Imta' Uli an-Nazhar bi Ba'dhi A'yan al-Qurn
ar-Rabi' 'Asyar oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh.
Sungguhpun ulama tersebut berasal dari Malaysia atau
dunia Melayu, saya belum menemui riwayat lengkap mengenainya dalam bahasa
Melayu.
Walau bagaimanapun dalam beberapa karangan bahasa Melayu
kadang-kadang disebut juga nama beliau. Dengan demikian dapat juga digunakan
sebagai tambahan maklumat. Baru-baru ini (18 Julai 2006) dalam kertas kerja
Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut
Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya
yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu terdapat sedikit maklumat
tentang Syeikh Haji Zubeir.
Walau bagaimanapun dalam kertas itu terdapat sedikit
perbezaan pendapat dengan sumber-sumber yang lain, iaitu dikatakan bahawa Mudir
pertama Dar al-'Ulum ialah Syeikh Zubeir bin Ahmad (kertas kerja hlm. 7). Dalam
Tasynif al-Asma' dinyatakan Mudir Dar al-'Ulum ialah Saiyid Muhsin bin 'Ali
al-Masawi al-Huseini (hlm. 218). Syeikh Umar Abdul Jabbar pula menulis bahawa
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum itu
(at-Tarajim wa as-Siyar, hlm. 333).
Perbezaan pendapat akan dibahaskan dalam riwayat Saiyid
Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini pada keluaran akan datang. Kedua-dua ulama
yang sama-sama lahir pada tahun 1323 H/1905 M itu ketika di Mekah berkongsi
pula mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah.
Pendidikan
Sejak usia sekitar tujuh tahun lagi Zubeir bin Ahmad
memasuki salah sebuah Madrasah Islamiyah di negerinya. Pendidikan ilmu-ilmu
asas seperti fiqh, akidah, tilawah al-Quran dan lain-lain dipelajarinya sejak
usia tersebut. Pada tarikh 10 Muharam 1339 H/23 September 1920 M, Zubeir
melanjutkan pelajarannya di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiyah di Pulau Pinang.
Beliau belajar daripada Syeikh Abdur Rahman Firdaus
al-Makki, Syeikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Syeikh
Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi
al-Falaki dan Syeikh Husein Rafi'. Zubeir tamat belajar di madrasah tersebut
pada bulan Syaaban 1342 H/Mac 1924 M. Kemudian beliau bersama kawan-kawannya
melanjutkan pelajaran ke Mekah. Mereka ialah Ali Manshuri, Ahmad Manshuri,
Ishaq Zain dan Abdul Majid Husein.
Sampai di Mekah mereka tinggal bersama Syeikh al-Qadhi Ahmad
Qari. Mereka tiba di Mekah pada malam awal bulan Ramadan 1342 H/5 April 1924 M.
Pada bulan Syawal 1342 H/Mei 1924 M, Zubeir dan
rakan-rakannya memasuki Al-Madrasah Hasyimiyah Syarif Husein bin Ali. Mereka
mendapat pendidikan khusus daripada lima ulama iaitu Syeikh Umar Ba Juneid,
Syeikh Jamal al-Maliki, Syeikh Habibullah asy-Syanqithi, Syeikh Muhammad Zaidan
asy- Syanqithi dan Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi.
Pada tahun 1344 H/1925 M mereka sempat belajar di Madrasah
Ash-Shaulatiyah sehingga mereka keluar dari madrasah itu pada tahun 1349 H/
1930 M. Sewaktu di Madrasah Ash-Shaulatiyah itulah barangkali Zubeir mula
bersahabat dengan Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini yang memasuki
Madrasah Ash-Shaulatiyah tahun 1341 H/1923 M.
Para gurunya di Madrasah Ash-Shaulatiyah ialah Syeikh Salim
Rahmatullah, Syeikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syeikh Abdul Lathif al-Qari, Syeikh
Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah
al-Bukhari.
Selain mendapat pendidikan di madrasah, Zubeir juga mendapat
pendidikan di Masjid al-Haram dan dengan ulama-ulama tertentu di rumah. Di
antara guru beliau yang dapat dikesan ialah Syeikh Sa'id Yamani, anaknya Syeikh
Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki,
Saiyid Shalih Syatha, Syeikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.
Daripada senarai nama para guru sejak dari Pulau Pinang
hingga pendidikan di Mekah tidaklah diragui bahawa Syeikh Haji Zubeir adalah
seorang putera Pulau Pinang yang cukup banyak mengumpulkan ilmu pengetahuan
dalam berbagai-bagai bidang.
Madrasah Dar al-Ulum
Setelah tamat belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah Syeikh,
Zubeir menjalankan aktiviti mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram, Mekah.
Beliau mengajar ilmu-ilmu alat dan fiqh dalam Mazhab Syafie. Dalam Tasynif
al-Asma juga disebut bahawa pada tahun 1352 H/1933 M, Syeikh Haji Zubeir
berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu'ib 'Ali, Mekah.
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas
Dar al-Ulum ad-Diniyah itu bertindak sebagai Mudir yang pertama manakala Syeikh
Haji Zubeir adalah Naib Mudir.
Saya tidak mengetahui sumber mana yang digunakan oleh
Mohammad Redzuan sehingga dalam beberapa perkara terdapat perbezaan pendapat.
Menurut beliau, selain Syeikh Haji Zubeir sebagai Mudir pertama Madrasah Dar
al-'Ulum ad-Diniyah, disebutnya pula yang berusaha mengasaskan madrasah itu
ialah Haji Abdul Majid Zainuddin. Haji Abdul Majid Zainuddin tersebut dikatakan
meletakkan batu asas. Menurutnya lagi, bangunan untuk madrasah memulakan
pengajian telah diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk
Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7).
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini meninggal dunia
pada 1354 H/1935 M. Tempatnya sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah
diganti oleh Syeikh Haji Zubeir hingga tahun 1359 H/1940 M. Pada tahun yang
sama, beliau pulang ke Malaysia
setelah lama mengajar di Mekah dan mempunyai ramai murid.
Aktiviti di Malaysia
Setelah berada di Malaysia Syeikh Haji Zubeir seperti biasa
bergiat dalam bidang pendidikan. Di antara madrasah-madrasah tempat beliau
mengajar ialah Madrasah al-Huda, Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, Madrasah
al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Terakhir sekali menjadi
Mudir Madrasah al-Idrisiyah. Madrasah al-Idrisiyah mempunyai sejarah yang
panjang dan tersendiri.
Mengenai Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, berdasarkan buku
Madrasah Al-Ulum Al-Syar'iyah Perak 1937 - 1977 oleh Sabri Haji Said, terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, madrasah yang terletak di Batu 20, Bagan Datoh,
Perak itu sejak mulai berdirinya mendapat sumbangan daripada Syeikh Haji
Zubeir.
Bahawa terbinanya Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah adalah
hasil inisiatif Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh. Menurut Sabri,
penubuhan madrasah itu diadakan di Masjid Bagan Pasir dengan dipengerusikan
oleh Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada 21 Oktober 1937 (Sabri, hlm. 32).
Nama madrasah itu diberi oleh Haji Muhammad Arsyad setelah
berbincang dengan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad (hlm. 33). Mudir Madrasah
al-Ulum asy-Syar'iyah ialah Haji Muhammad Arsyad. Syeikh Haji Zubeir bin Haji
Ahmad pada zaman penjajahan Jepun buat beberapa ketika pernah sebagai Wakil Mudir
(hlm. 141).
Penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam Madrasah al-Akhlaq
al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pula ialah beliau mengajar di madrasah
tersebut pada 1946 hingga 1948.
Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah sangat erat hubungannya
dengan Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah kerana didirikan oleh Haji Abdur Rahman
bin Haji Muhammad Arsyad pada tahun 1943. Haji Abdur Rahman ini ialah
adik-beradik Haji Hasan Adli, seorang tokoh terkenal. Kedua-duanya merupakan
anak Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh.
Rasanya riwayat ini tidak sempurna jika tidak menceritakan
madrasah tersebut yang dianggap sebati dengan beberapa orang mudirnya,
antaranya ialah Syeikh Haji Zubeir yang diriwayatkan ini. Madrasah al-Idrisiyah
diasaskan pada tahun 1340 H/1922 M dekat Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala
Kangsar, Perak.
Madrasah tersebut didirikan berikutan titah Sultan Idris I
Al-Mursyidul A'zam Syah, Sultan Perak pada zaman itu. Baginda menitahkan dibina
madrasah itu kepada Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir. Senarai Mudir
yang pertama Madrasah al-Idrisiyah hingga ulama yang diriwayatkan ini
susunannya adalah seperti berikut: Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh,
berkhidmat (1922 - 1928), Syeikh Abdullah al-Maghribi (1928 - 1932), Syeikh
Haji Abdullah Fahim (1932 - 1948) dan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad 1948 -
1975).
Penulisan
Saya belum mendapat maklumat tentang penglibatan Syeikh Haji
Zubeir dalam bidang penulisan. Namun kata pengantar beberapa buku membuktikan
beliau berkemampuan dalam bidang penulisan. Antara buku yang terdapat kata
pengantar Syeikh Haji Zubeir ialah Suluh Kemajuan karya Syeikh Haji 'Abdul
Karim bin Syeikh 'Utsman Sarawak.
Penggal yang pertama ditulis pada 4 Syawal 1368 H/7
September 1948 M. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang, 17 Safar 1372 H/5
November 1952 M.
Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad menulis, “Maka orang-orang
Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar.
Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati.
“Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah
kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia.
Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam seluruh
alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kala.”